Tuesday, June 30, 2015

Bab 2 & 3 - Dia Anak Jeneral

2

MAJLIS pelancaran kosmetik terbaharu yang diadakan di pusat membeli belah IOI Mall itu sudah berakhir. Artis-artis undangan yang dijemput hadir untuk memeriahkan majlis dan model-model yang memperagakan barangan kosmetik tersebut juga sudah pulang. Hanya tinggal staf The Zone Event And Advertising  yang masih mengemas props yang digunakan sepanjang majlis, termasuklah Syirin.
Namun tumpuan Syirin terganggu apabila mesej dari aplikasi Telegram masuk ke telefonnya. Pantas dia membaca ‘tingkap’ biru yang bertajuk The General’s Daughters itu.

Ida: Rin, baliklah cepat!

Syirin kehairanan. Keningnya berkerut. Kenapa? Apa yang tidak kena di rumah?

Syirin: Ye… lps habis kemas, Rin blk la. Apahal kecoh2 ni?

Shim: Blk ajelah… but be prepared…

Hati Syirin sudah berdetak lain macam. Jika amaran sebegini yang diberikan oleh kakaknya, pasti ada kejutan yang menantinya di rumah.

Syirin: ???

Ida: Ambil nafas pjg2 sblm blk. Klau tak ckup nafas nnt bleh pengsan!

Tiba-tiba Syirin terasa nafasnya semakin pendek. Selalunya kalau begini,  ada sesuatu yang berkaitan dengan ayahnya. Dia ada buat salah pada Leftenan Jeneral Hambali ke? Seingatnya, tidak ada. Sekurang-kurangnya, untuk tiga bulan kebelakangan ini, ‘rekodnya’ sudah sehabis bersih! Tapi, kakak-kakaknya suruh dia bersiap sedia bagaikan hendak berdepan dengan sesuatu yang besar.
 
Syirin: Nak pengsan skrg, boleh?

Shim: Kau pengsan kat umah lagi senang!

Syirin: Huh!!

Syirin terasa dadanya berdegup kencang. Apa akan jadi ni?

“Syirin?”
Panggilan Terrence mengejutkan Syirin. Tumpuannya beralih ke wajah bosnya itu. “Err… ya, Mr. T?”
“You’ll be joining us, right?” Mata Terrence masih memandang Syirin yang kelihatan anggun bergaya dengan dress paras tiga suku berwarna biru laut dipadankan dengan stoking berwarna gelap dan but bertumit hitam. Shawl yang menutupi kepalanya pula berwarna kuning dan sedikit jingga
“Hah?” Syirin tercengang seketika. Tidak tahu hujung pangkal cerita.
“Mr. T nak belanja dinnerlah, Syirin.” Awin menjawab bagi pihak Terrence.
Err… well…” Syirin teragak-agak untuk berkata ya. Orang di rumah asyik bertanya pukul berapa dia hendak balik. Bos di depan mata, hendak belanja makan pula. Apa pilihannya sekarang?
“Syirin… you okey ke?” Terrence panggil lagi melihat gadis itu kalut semacam.
Sorry Mr. T… rasanya I tak boleh join. I ada hal… kena balik cepat.” Syirin serba salah. Dia memandang wajah rakan-rakannya dan Terrence, silih berganti. Selama ini, dia sering menyertai mereka bila selesai sahaja majlis. Seronok berkumpul ramai-ramai dan bersantai begitu. Hubungan mereka ibarat satu keluarga walaupun berbeza latar belakang. Tetapi ‘hal’ di rumah kedengarannya cukup penting untuk dia turut ada bersama.
“I ada family dinner di rumah. Kalau I tak balik on time, bising ayah I nanti.” Benak Syirin mencari jawapan kepada persoalan itu. Uncle Mustakim sekeluarga akan datang makan malam di rumah. Nukman juga pasti ada. Apa kaitan makan malam itu dengan kepulangan dirinya?
“You ni Syirin… dah besar panjang pun ada curfew lagi ke?” usik Terrence bagi menutupi rasa kecewanya.
Syirin tersenyum tawar. Itulah hakikatnya. Sama ada dia besar panjang ke, tua atau muda… selagi dia tidak berkahwin dan masih tinggal serumah dengan Leftenan Jeneral Hambali, selama itu dia harus patuh pada syarat dan peraturan.
“Apa nak buat, Mr. T. I ni kan, anak askar. Curfew sentiasa berkuatkuasa. Okay everybody… enjoy your dinner. See you guys on Monday.”

3

MALAM yang dingin dan nyaman di Hulu Langat. Tetapi bagi Syirin, malam itu terasa benar bahang dan kehangatannya. Penghawa dingin yang terpasang di dalam bilik tidak mampu menyejukkan hatinya. Dia mencapai klip yang terletak di atas meja solek dengan kasar. Lantas menyanggul rambutnya yang dibiarkan lepas tadi. Panas… panas!
‘Kami nak tengok Nukman dan Syirin bersatu!’
Oh!!! Syirin rasa dunianya sudah hilang paksi. Dia mundar-mandir di dalam biliknya. Ayat yang diucapkan oleh Uncle Mustakim tadi masih berulang-ulang di telinganya sehingga kini. Kepalanya semakin pusing. Nafasnya turun naik. Benarlah seperti amaran Nazatul Shida dalam Telegram petang tadi. Kalau dia tidak cukup oksigen, pasti dia akan pengsan sebaik sahaja mendengar perancangan Leftenan Jeneral Hambali dengan Uncle Mustakim itu!
“Ayah tak patut buat Rin macam ni! Yang nak kahwin ni… Nur Syirin Binti Hambali… bukan Leftenan Jeneral Hambali. Tapi kenapa tak tanya Rin dulu?” Syirin meluahkan rasa tidak puas hati. Tadi pun, tubuhnya sudah menggeletar. Kaki pun terasa tidak berpijak di bumi. Kenapa ayah memberinya kejutan sebegini? Kenapa tidak berbincang dengan dirinya sebelum kedatangan Uncle Mustakim? Kenapa menerima lamaran itu tanpa bertanya tuan empunya diri terlebih dahulu? Di manakah hak kebebasannya untuk bersuara?
“Kenapa pula tak patut? Kau tu pun anak ayah jugak… binti Hambali. Sama dengan Kak Shim dan Kak Ida. Kalau jodoh kami ayah yang tentukan… kau pun tak terkecuali. No exception, okay?” Shim tidak rasa perancangan Leftenan Hambali itu sesuatu yang pelik. Syirin sepatutnya sudah menjangkakan perkara itu. Kehidupan mereka tiga beradik memang ayah aturkan segala-galanya sejak kecil. Hendak bersekolah di mana, ayah yang tentukan. Hendak ambil kursus apa di universiti, ayah yang sarankan. Hendak kahwin, pastilah calonnya ayah yang carikan.
“Kenapa mesti Nukman? Dah tak ada orang lain ke? Kalau suruh Rin kahwin dengan sepupu Nukman yang rambut ala-ala K-Pop tu pun okey lagi, tahu tak?” Lalu Syirin hempas punggung di depan Shim. Nukman? Argh… tidak pernah Syirin bayangkan itu calon suaminya!
“Nukman tu kira okey, apa? Tall, dark and handsome!” Shim tidak nampak sebarang kekurangan dalam diri Nukman. Di matanya, Nukman dan Syirin mampu menjadi pasangan yang secocok. Sama seperti dirinya dan Asraf.  
Syirin menggeleng. “Ini tak ada kena mengena dengan dia tall, dia dark atau dia handsome… tapi masalahnya sekarang, Rin anggap Nukman tu macam abang aje, Kak Shim. Dia tu abang angkat Rin sejak dulu lagi!”
“Masa kau umur 13 tahun, memanglah kau anggap dia abang angkat. Tapi lepas 13 tahun, apa-apa pun boleh berubah. Banyak apa kes, bermula dengan abang angkat… adik angkat, tapi lepas tu terus terangkat jadi suami isteri. Bahagia aje.” Shim menempelak dalam geram. Dalam usia 26 tahun, Syirin masih menganggap Nukman itu abang angkatnya? Huh… macam tak kena saja!
But not in the case of me and Nukman.” Syirin masih teguh dengan pendiriannya. Dia tidak pernah keliru dengan perasaan sendiri. Kalau Nukman sudah diumpamakan sebagai abang, sampai bila-bila pun Nukman tetap abangnya.
“Kau yang mengada-ngada nak berabang angkat dulu…. tergedik-gedik minta Nukman jadi abang angkat. Siap tulis surat lagi!” perli Shim sambil mencebir. Dia dan Ida terkejut sungguh apabila mendapat tahu yang Syirin menulis surat kepada Nukman dan meminta jejaka itu menerima tawaran untuk menjadi abang angkatnya… berani betul Syirin!
Syirin tidak dapat menahan gelak apabila disindir. Dalam fikiran runsing dan bercelaru, terburai juga tawanya walaupun muka berbahang malu. Ya… memang dia terlebih berani. Kalau difikirkan semula, dia sendiri tidak pasti bagaimana dia mendapat ‘keberanian’ itu. Dalam usia secilik itu, sesuka hati sahaja dia menulis surat sepanjang tiga helai kertas kajang kepada jejaka berumur 17 tahun untuk dijadikan abang angkat. Mujur Nukman tidak reject… kalau tidak, buat malu aje!
“Rin suka dia dulu sebab dia ada ciri-ciri seorang abang. Rin dah ada dua orang kakak… nak jugak rasa ada abang.” Dalam tawa yang bersisa, Syirin membela diri. Sejak mula mengenali Nukman ketika majlis hari raya yang mempertemukan semula Leftenan Jeneral Hambali dan Uncle Mustakim, dia  tertarik dengan aura Nukman yang ada sifat pelindung. 
 “Eleh… alasan! Kak Shim dan Kak Ida tak kisah pun tak ada abang, kau aje yang lebih-lebih! Pokok pangkalnya, kau memang suka dia. Sebab tu, kau nak dia sentiasa ada untuk kau, betul tak?” tebak Shim. Masih tak mahu mengaku, konon!
“Suka sebagai abang… lain dengan suka sebagai kekasih cik kak oii!” Syirin amat pasti rasa ‘sukanya’ terhadap Nukman akan kekal statik seperti itu.
Tiba-tiba pintu bilik air Syirin dikuak dari dalam. Syirin dan Shim menoleh.
“Dik… bilik air kau yang bocor ni bila Ah Leong nak repair?” Ida yang sedang hamil, melangkah keluar. Berada di dalam bilik air itu, dia dapat lihat air meleleh keluar dari celah-celah tiles di dinding.
“Entahlah si Ah Leong tu. Bilik air Rin aje yang bocor, tapi punyalah lambat dia nak datang repair!” kata Syirin geram.
“Oh ya… petang tadi akak dengar ayah cakap yang Ah Leong akan hantar kontraktor lain untuk repair.” Shim menyampuk.
“Kontraktor lain pulak? Bila?” tanya Ida lalu menghampiri mereka.
“Minggu depan kot.”
“Nanti minggu depan, Ah Leong bagi alasan… kontraktornya sibuk pulak. Itulah, ayah cepat sangat nak pindah sini. Patutnya kita tengok hasil kerja Ah Leong ni betul-betul, baru pindah masuk. Silap-silap nanti, kena pecahkan semua tiles kalau kebocoran tu dalam dinding,” bebel Ida.
“Ha’ah… kan. Kalau pecah tiles… leceh tau. Bersepah bilik nanti,” sokong Shim.
“Hello sisters!” sergah Syirin. Matanya membulat memandang wajah kakak-kakak kembar yang tua lima tahun daripadanya itu.
Shim dan Ida terkejut dengan sergahan Syirin. Spontan mereka menoleh memandang adik bongsu mereka itu.
 “I have a bigger issue here than just my leaking toilet, okay?” nada Syirin geram. Dia tengah runsing, boleh pula kakak-kakaknya berbual tentang bilik air bocor. Tak membantu langsung.
Baru Shim dan Ida tersedar yang mereka sudah lari dari topik perbincangan. Sudah mengabaikan isu ‘kahwin paksa’ itu gara-gara berborak tentang bilik air Syirin.
“Eh… tak settle lagi ke?” Ida bertanya dengan muka blur. Sangkanya, perbincangan itu sudah tamat tatkala dia di dalam bilik air tadi.
Syirin memandang wajah Ida yang ada kalanya memang blur! “Kak Ida… ingat isu ni boleh settle sekelip mata ke? Blink… blink… semuanya jadi normal?”
Ida cuba mengadun kata untuk menasihati si adik. “Alaa… kalau kau terima aje Nukman tu, settle semua isu, Rin. Kau dan Nukman berkahwin, ayah happy sebab dapat berbesan dengan Uncle Mustakim dan dapat menantu pilihan... okey apa?”
“Kenapa nak sangat bermenantukan Nukman tu? Ayah dah ada seorang menantu tiga paku… Kapten Asraf. Seorang lagi dua paku… Leftenan Fikri. Dah cukuplah tu. Nanti kalau semua berkumpul dalam rumah ni, dah jadi majlis alumni  RMC pulak dah!” Syirin masih tidak faham apa perlunya Leftenan Jeneral Hambali beria-ia sangat hendak menantu yang berlatar-belakangkan ketenteraan. Bukan nak pergi berperang pun!
 “Mana cukup? Ayah ada tiga anak perempuan. Mestilah ada tiga menantu pegawai tentera. Paling kurang pun, ex-RMC. Dan Nukmanlah calon yang sesuai, walaupun dia pegawai kastam… bukan askar.” Shim membela.
“Kak Shim dan Kak Ida aje yang suka lelaki yang beruniform ni. Rin biasa-biasa aje.” Sejak dahulu lagi, Syirin sedar yang Shim dan Ida mempunyai selera dan cita rasa yang sama. Kembarlah, katakan.
“Itulah dik… kau tak membesar di dalam kem. Kau tak bergaul sangat dengan anak-anak anggota tentera macam kami. Sebab tu, kau tak berapa minat lelaki beruniform. Padahal, dia orang ni sebenarnya nampak penuh karisma, macho dan sado, tahu tak?” Ida menokok tambah.
Dalam diam, Syirin akui kebenaran itu. Seawal usia 13 tahun, dia sudah melangkah keluar dari perumahan di kem gara-gara menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara, berbanding Shim dan Ida yang menghabiskan pelajaran sehingga ke tingkatan lima di sekolah yang berdekatan dengan kem.
“Tapi, Rin tak suka kena paksa macam ni. Kalau Rin teringin sangat nak kahwin dengan Nukman pun, biar Rin sendiri yang beritahu pada mak dan ayah,” keluh Syirin perlahan.
“Suka atau tidak… tapi memang kau terpaksa suka. Kau nak bantah pun, tak ke mana perginya. Kau ingat ayah nak berdiam diri?” Shim berlembut dalam usaha untuk memujuk si adik.
“Kau tak ada alasan nak tolak cadangan ayah, dik. Kau bukannya ada boyfriend pun.”
Kata-kata Ida membuatkan mereka adik-beradik terdiam seketika. Itulah hakikatnya. Bagaimana mereka hendak ada boyfriend kalau semua kawan lelaki dipantau oleh Leftenan Jeneral Hambali sejak remaja lagi?
“Nanti Rin carilah boyfriend!” Tiba-tiba berkobar semangat Syirin untuk mencari teman lelaki.
“Siapa kau nak cari? Main rembat aje mana-mana mamat yang kau jumpa? Kau nak kena ‘tembak’ dengan ayah?” selar Shim.
“Why not?” Syirin menyahut cabaran. Kalau sudah terdesak, esok juga dia akan berusaha mencari seorang kekasih.
“Jangan buat kerja gila, Rin!” Shim mengingatkan. Risau memikirkan kalau Syirin benar-benar nekad untuk ‘rembat’ sesiapa sahaja. Tidak dapat dibayangkan wajah serius dan garang Leftenan Jeneral Hambali berhadapan dengan situasi itu. Pasti ‘berperang’ dengan adegan tembak-menembak di dalam rumah mereka walaupun bukan dengan senjata!
Sunyi seketika. Ida dan Shim saling berpandangan dengan rasa tidak sedap hati. Takut jika Syirin mengotakan kata-katanya. Syirin ada kalanya memang nekad. Terlebih berani… tidak tahu takut sehingga mereka yang kecut perut.
Syirin memandang reaksi kedua-dua kakaknya sambil otak ligat berputar. Dia harus mencari helah. Tapi apa ya? 

Pre Order Dia Anak Jeneral...



Tadaaaaa.... ni dia front and back of DIA ANAK JENERAL. Striking you!! ;)

Ok... ada sesiapa yg berminat utk order DIA ANAK JENERAL drp saya?

Pre-order sudah dibuka...details are as follows:

Harga termasuk pos: RM30 (SM) / RM33 (Sabah/Sarawak)
Bank in ke: MBB 562562-304472 JENDELA BERLIAN
Email slip/bukti pembayaran serta nama, alamat, nombor telefon ke: hezzy_azra@yahoo.com

NOTA PENTING: DAJ hanya akan saya poskan selepas stok buku berada di tangan saya ya... TENTATIVELY AFTER HARI RAYA. Tapi Syawal yg ke berapa tu... saya tak boleh pastikan lagi.

Apa-apa pun kita beraya dulu...baca DAJ masa tgh sesak2 dalam jem balik raya nnt...hehe.

Tuesday, June 23, 2015

Bab 1 - Dia Anak Jeneral

1

BANGLO dua tingkat berwarna coklat cair yang tersergam indah itu telah siap pembinaannya sejak sebulan yang lalu. Dan tiga minggu lepas, penghuninya sudah berpindah masuk.
“Alhamdulillah… baru sekarang ni saya betul-betul rasa hasil titik peluh saya selama 35 tahun ni.” Leftenan Jeneral Hambali; pemilik banglo itu berdiri bercekak pinggang sambil memerhatikan kawasan sekeliling. Dia baru sahaja selesai menanam benih organik untuk pokok mangga madu di lamannya.
Banglo yang dibinanya itu mempunyai tujuh bilik. Di sinilah nanti anak-anaknya berkumpul pada hujung minggu. Tempat cucu-cucunya bermain di halaman yang luas. Tempat dia dan isterinya menghabiskan usia mereka. Itulah kebahagiaan dan ketenangan yang diingini bila dia bersara lagi tujuh bulan.
Noriah tersenyum. Dia turut rasa bersyukur. “Minum, bang.” Dia hulurkan gelas berisi air oren kepada suaminya itu.
Leftenan Jeneral Hambali segera menyambut huluran gelas daripada isterinya itu.
“Saya nak masuk ni, bang… nak tengok apa yang Shim dan Ida masak untuk malam ni.” Dia bangun. Malam nanti, suaminya mempelawa Mustakim sekeluarga untuk datang makan malam di rumah mereka. Pesuruhjaya Bomba Mustakim dan Leftenan Jeneral Hambali berkawan baik sejak di universiti lagi. 
“Syirin tak balik lagi?” Spontan mata Hambali memandang ke anjung rumah. Kereta Mazda 2 Hatchback  milik Nur Syirin tiada di situ.
Noriah berpaling memandang suaminya. “Belum…”
“Ai… dah petang pun dia tak balik-balik lagi?” Bila Hambali mengizinkan Syirin bekerja, itu tidak bermakna Syirin boleh bekerja sampai lewat petang.
“Kan dia ada event di Puchong sejak pagi tadi.” Syirin bekerja sebagai Pegawai Perhubungan Awam di sebuah agensi event management and advertising. Hujung minggu begitu, ada kalanya Syirin tidak lekat di rumah.
Leftenan Jeneral Hambali mendengus. Nur Syirin, anak bongsunya yang berusia 26 tahun itu jauh berbeza personaliti dengan Nadratul Shima dan Nazatul Shida. Kalau Shim dan Ida boleh duduk di rumah sepanjang hari dengan menonton TV, Syirin pula akan senyap-senyap keluar bersama rakan-rakannya ke panggung menonton wayang. Apabila disuruh ambil jurusan undang-undang selepas tamat SPM, Syirin diam-diam memohon jurusan Communication Studies. Disuruh bekerja dengan agensi kerajaan, Syirin terima tawaran bekerja di agensi swasta. Anak dara yang sering membuatkan dia tepuk dahi setiap kali memikirkannya!
“Dia tahu tak yang Mustakim sekeluarga nak datang malam ni?” Hambali sudah ada perancangan untuk Syirin. Kalau selama ini Syirin fikir dirinya boleh terlepas, dia nekad tidak akan membiarkan Syirin terlepas lagi kali ini. Nescaya Syirin terpaksa akur juga.
“Tahu… saya dah cakap kat dia pagi tadi.”
“Apa katanya?”
“Kalau kerja dia habis cepat, dia baliklah awal. Tapi kalau dia terlewat… tak payahlah tunggu dia. Kita makan ajelah dulu.” Noriah sampaikan pesanan Syirin. Selama ini pun, ada juga makan malam mereka sekeluarga yang tidak dapat disertai oleh Syirin gara-gara terikat dengan kerja dan kesibukan.
 “Hisy… budak tu! Ada aje alasan dia. Mustakim datang rumah kita malam ni bukan setakat nak makan-makan aje.” Suara Hambali bertukar keras.
Dahi Noriah berkerut. Niatnya untuk masuk ke dapur, terus terbantut. Kenapa dia merasakan nada suara suaminya sudah lain macam? Ada apa-apa yang di luar pengetahuannya ke? “Ada sebab lain ke selain daripada makan malam, bang?” Matanya tepat memandang wajah suaminya itu.
“Mustakim nak berbincang tentang Syirin dan Nukman,” jawab Hambali tanpa memandang wajah Noriah.
Mendengar jawapan suaminya, Noriah kembali menghampiri dengan dada yang berdebar. “Nak bincang apa tentang Syirin dan Nukman?” Hati mula berdetak kencang. Adakah suaminya sedang merancang sesuatu? Jangan-jangan…
“Mustakim dan Saadiah nak merisik Syirin untuk Nukman.”
Noriah terkedu. Sah, tekaannya tadi benar. Serta-merta hatinya kacau-bilau. Seolah-olah dapat membayangkan apa yang bakal Syirin alami selepas ini.

Thursday, June 18, 2015

Dia Anak Jeneral...coming soon!!

Alhamdulillah...cover Dia Anak Jeneral dah siap. Saya dah tgk pun... purple color gitu!!

Tapi gambar yg saya tunjuk ni bukan cover ya. Ini muka surat  sebelah dalam. Cover tu, nnt2 la tunjuk...kita bagi sneak preview je dulu. :)

Ni saya kongsikan sinopsis DAJ...

KALAU sudah nama berbintikan Hambali, semuanya akan diatur… termasuklah mencari calon suami. Bila Leftenan Jeneral kata hitam, maka hitamlah warnanya. Walaupun ketika itu, pelangi sudah jadi 14 warna, Syirin harus akur.

Kehadiran Zakhif, telah menggoyahkan hati Syirin. Kali pertama bertentang mata, dia dan Zakhif saling terpesona. Saat bertegur sapa, hati dibaluti bahagia. Bila tidak bertemu, ada rindu yang menderu.
Tetapi Zakhif sedar siapa dia. Bagaimana kuatnya cinta terhadap Syirin, hebat juga risiko yang menanti. Lalu Zakhif cuba menjauh. Namun, Syirin semakin mendekat dengan satu tekad.
“Kalau awak datang ke rumah berjumpa ayah dan mak saya… saya terima pinangan awak.”
Zakhif mula pening! Mampukah dia menghantar rombongan? Yang ingin dipinang itu srikandi Leftenan Jeneral Hambali. Pikat bapa mertua lebih mencabar daripada memikat anaknya! Argh… ini kisah cinta yang mudah tetapi bertukar payah. DIA… ANAK JENERAL menjadi epik cinta yang indah.

Amacam? Ok tak? Tertarik?? Terasa nak beli?? Nanti in sya Allah saya bukak pre-order. If not end of this month, probably by early of July 2015.

Wednesday, June 17, 2015

Ramadan Kareem...



Assalamualaikum

"Ramadhan Kareem" to all.... yg bermaksud Ramadan yg Mulia. Dan jika org yg mendengarnya, jawablah "Allahu Akram"... yg bererti "Allah lebih Mulia"...

Selamat menyambut Ramadhan utk semua yg sudi jenguk blog saya ni. Di sini... sebelum bermulanya Ramadan, saya ingin memohon ampun dan maaf jika sepanjang penulisan saya ini, saya telah mengguris hati anda secara sengaja atau tidak. Ampun banyak-banyak. 


Semoga Ramadan kita kali ini lebih baik dari sebelumnya dan mendapat keberkatan dan keredhaanNYA. Moga Ramadhan ini lebih memberi kita taqwa dari sebelumnya. Marilah kita sambut Ramadhan ini dgn wajah yg berseri2 tanda kegembiraan yg tidak terhingga dan berazam utk mendekatkan diri kpd Allah dgn selalu berbicara dgn Allah walau dlm hati..

Ya Allah aku berpuasa ya Allah...terimalah puasaku ini...aku berpuasa hanya untukMu Ya Allah...

Ni nak share sikit tazkirah ttg bulan Ramadan ini dgn anda semua. And a self-reminder too...
30 'menu' tu... mudah-mudahan dapat dihadam sepenuhnya. 

​Ramadhan itu bulan yg ada 30 hari
=yang awalnya 10 hari = rahmat;
=tengahnya 10 hari = maghfirah (keampunan); dan 
=akhirnya 10 hari = diselamatkan dari neraka. 


30 'MENU LAZAT' SEPANJANG RAMADHAN
1. Tilawah al Quran sejuzuk sehari paling kurang.
2. Solat tarawih minima 8 rakaat setiap mlm.
3. Solat Witir minima 3 rakaat semalam.
4. Beri makan org berbuka puasa walaupun dgn sebiji tamar setiap hari.
4. Solat fardhu 5 waktu berjamaah setiap hari.
5. Tahajud setiap malam minima 2 rakaat.
6. Sunat dhuha setiap pagi.
7. Sedekah setiap hari minima seringgit.
8. Pastikan sahur setiap hari.
9. Iktikaf di masjid setiap hari walau sekadar 10 minit.
10. Tadarus al Quran sambil usaha memahami maksudnya.
11. Ziarah orang yg kurang bernasib baik.
12. Kurangkan ziarah ke bazar2 ramadhan.
13. Pilih makanan sunnah sebagai menu harian.
14. Elakkan membeli makanan dari tangan2 orang yg fasik.
15. Jauhkan aktiviti yg lagha.
16. Zikir harian, banyakkan berdoa.
17. Lazimi bibir beristighfar sekurang2nya 70x dlm sehari.
18. Ajari diri dengan sifat rendah hati kerana Allah
19. Mudah memohon maaf dan memberi maaf.
20. Menjaga dan menghubung silaturrahim
21. Menjaga dan menutup aurat dengan sempurna
22. Menjaga lisan, pandangan, pendengaran & hati dari perkara2 yg dilarang.
23. Tidak berlebih2an maupun membazir dgn makanan terutama juadah berbuka.
24. Perbanyakkan amalan2 sunat- solat sunat rawatib.
24. Lazimi sunnah Rasulullah yg ringan tulang dlm urusan rumah tangga (terutama suami & anak2 lelaki)
25. Lazimi utk kawal dan tahan marah, didik diri untuk lebih bersabar.
26. Lazimi lidah utk sentiasa bersyukur dan memperbanyakkcan syukur kpd Allah di kala senang maupun susah.
28. Menjaga ikhtilat - hubungan antara lelaki dan perempuan.
29. Membayar zakat fitrah dalam waktu yg telah ditetapkan.
30. Ikhlaskan hati kerana Allah..hadirkan Allah di dalam hati, berusaha menjalani Ramadhan kali ini dgn sebaik mungkin seolah2 inilah Ramadhan terakhir kita.

Wednesday, June 10, 2015

My 7th... and it is called; DIA ANAK JENERAL

Setelah sebulan lebih tak berkongsi apa2 cerita dlm blog ni, hari ni saya nak kongsi berita yg menggembirakan.

Alhamdulillah, proses editing saya utk manuskrip ke 7 dah selesai minggu lepas. Rasanya by now, design utk cover novel pun dah hampir siap. 

So, dgn terujanya... saya umumkan yang novel ketujuh saya bertajuk DIA ANAK JENERAL akan diterbitkan... In sha Allah pada August 2015!! Bulan raya, bulan merdeka & bulan hari lahir gitu!!! 

Alhamdulillah... kurang lebih dua bulan lagi, pasangan Zakhif & Syirin bakal bertemu pembaca yg menantikan kemunculan mereka!! Ada ke yg tunggu?? Ada kot... 5 org!!! Hahahaha

Spt yg dijanjikan, saya akan up beberapa bab di blog saya ni. Sebagai 'appetizer' bak kata org...:)
Sudi2kanlah baca ye...


 PROLOG

NUR SYIRIN meraup wajahnya usai memberi salam. Spontan matanya melihat sekeliling surau At-Tashrif itu. Dia keseorangan. Sama seperti saat dia melangkah masuk ke ruang muslimah itu sepuluh minit yang lalu untuk menunaikan solat zohornya.
Wajahnya ditundukkan. Berselawat dia seketika sambil mata memandang cincin belah rotan yang tersarung di jari manisnya itu dengan pelbagai emosi yang menghambat jiwa. Kemudian, perlahan-lahan dia mengangkat kedua belah tangannya memanjatkan doa. Memohon agar diberi kekuatan untuk menghadapi segala dugaan yang bakal mendatang.
Sepanjang seminggu ini, tubuhnya penat dan mindanya lelah. Fizikalnya tenggelam dalam timbunan kerja. Mentalnya sarat dengan beribu soalan tentang masa hadapan. Tegakah dia mengharungi laluan hidup sebegini sesudah bernikah dengan Nukman? Andai dia nekad memutuskan hubungan itu, apa akan terjadi pada dirinya? Akan selesaikah masalah atau dia akan dihukum oleh ayahnya?
YA ALLAH, terasa berat ujian-MU kali ini. Mata Syirin bergenang. Tetapi kalau inilah yang KAU tentukan untukku, berikan aku kekuatan untuk melaluinya. Jika tidak, KAU tunjukkan jalan yang mana harus aku tuju. Itulah doa yang Syirin lafazkan setiap kali dia buntu memikirkan apa tindakan yang harus diambilnya.
          Tiba-tiba satu bunyi yang datang dari ruang muslimat itu mengejutkan Syirin. Bunyi seperti ada orang yang sedang memanjat dengan menggunakan tangga besi. Lalu dia menyudahkan doanya dan bacaan al-Fatihah disedekahkan sebelum bangun dari sejadah.
          Syirin mengenakan semula tudung birunya dan berdandan ala kadar. Setelah berpuas hati dengan penampilannya, dia mencapai beg tangan dan berjalan keluar dari surau tersebut. Tolak ketepi semua masalah yang membelenggu. Lupakan Nukman buat sementara waktu. Dia mahu mindanya tidak terbeban dengan kemelut yang melanda saat berdepan dengan klien nanti.
Langkah diatur. Sewaktu melintasi ruang solat muslimat, entah kenapa tiba-tiba hatinya bagai ditarik untuk melihat apa yang dilakukan oleh orang yang memanjat sebentar tadi.
Sebaik sahaja dia memandang, matanya tertancap pada seorang lelaki yang sedang berdiri di atas tangga untuk memasang kipas.
Sesusuk tubuh yang kurus tinggi itu… benarkah apa yang dilihatnya? Atau itu hanya bayangannya? Serta-merta resah hati mengenangkan masalah yang dihadapinya tadi, bagai ditiup pergi. 
          Dengan hati yang mula dipalu debaran, Syirin berjalan perlahan menghampiri pintu masuk untuk melihat lelaki yang mengenakan seluar jeans biru dan kemeja T kelabu itu dengan lebih dekat.
“Awak!”  panggil Syirin dengan jiwa yang bergetar.
Dan bila lelaki itu memandang, Syirin terasa masa seolah terhenti seketika.




SEPERTI ADA CINTA

Blurb: Bertahun menyulam cinta, yang Farra Nuha dambakan hanyalah sebuah mahligai indah bersama Ilhan. Tetapi semakin tiba hari...