Tuesday, June 23, 2015

Bab 1 - Dia Anak Jeneral

1

BANGLO dua tingkat berwarna coklat cair yang tersergam indah itu telah siap pembinaannya sejak sebulan yang lalu. Dan tiga minggu lepas, penghuninya sudah berpindah masuk.
“Alhamdulillah… baru sekarang ni saya betul-betul rasa hasil titik peluh saya selama 35 tahun ni.” Leftenan Jeneral Hambali; pemilik banglo itu berdiri bercekak pinggang sambil memerhatikan kawasan sekeliling. Dia baru sahaja selesai menanam benih organik untuk pokok mangga madu di lamannya.
Banglo yang dibinanya itu mempunyai tujuh bilik. Di sinilah nanti anak-anaknya berkumpul pada hujung minggu. Tempat cucu-cucunya bermain di halaman yang luas. Tempat dia dan isterinya menghabiskan usia mereka. Itulah kebahagiaan dan ketenangan yang diingini bila dia bersara lagi tujuh bulan.
Noriah tersenyum. Dia turut rasa bersyukur. “Minum, bang.” Dia hulurkan gelas berisi air oren kepada suaminya itu.
Leftenan Jeneral Hambali segera menyambut huluran gelas daripada isterinya itu.
“Saya nak masuk ni, bang… nak tengok apa yang Shim dan Ida masak untuk malam ni.” Dia bangun. Malam nanti, suaminya mempelawa Mustakim sekeluarga untuk datang makan malam di rumah mereka. Pesuruhjaya Bomba Mustakim dan Leftenan Jeneral Hambali berkawan baik sejak di universiti lagi. 
“Syirin tak balik lagi?” Spontan mata Hambali memandang ke anjung rumah. Kereta Mazda 2 Hatchback  milik Nur Syirin tiada di situ.
Noriah berpaling memandang suaminya. “Belum…”
“Ai… dah petang pun dia tak balik-balik lagi?” Bila Hambali mengizinkan Syirin bekerja, itu tidak bermakna Syirin boleh bekerja sampai lewat petang.
“Kan dia ada event di Puchong sejak pagi tadi.” Syirin bekerja sebagai Pegawai Perhubungan Awam di sebuah agensi event management and advertising. Hujung minggu begitu, ada kalanya Syirin tidak lekat di rumah.
Leftenan Jeneral Hambali mendengus. Nur Syirin, anak bongsunya yang berusia 26 tahun itu jauh berbeza personaliti dengan Nadratul Shima dan Nazatul Shida. Kalau Shim dan Ida boleh duduk di rumah sepanjang hari dengan menonton TV, Syirin pula akan senyap-senyap keluar bersama rakan-rakannya ke panggung menonton wayang. Apabila disuruh ambil jurusan undang-undang selepas tamat SPM, Syirin diam-diam memohon jurusan Communication Studies. Disuruh bekerja dengan agensi kerajaan, Syirin terima tawaran bekerja di agensi swasta. Anak dara yang sering membuatkan dia tepuk dahi setiap kali memikirkannya!
“Dia tahu tak yang Mustakim sekeluarga nak datang malam ni?” Hambali sudah ada perancangan untuk Syirin. Kalau selama ini Syirin fikir dirinya boleh terlepas, dia nekad tidak akan membiarkan Syirin terlepas lagi kali ini. Nescaya Syirin terpaksa akur juga.
“Tahu… saya dah cakap kat dia pagi tadi.”
“Apa katanya?”
“Kalau kerja dia habis cepat, dia baliklah awal. Tapi kalau dia terlewat… tak payahlah tunggu dia. Kita makan ajelah dulu.” Noriah sampaikan pesanan Syirin. Selama ini pun, ada juga makan malam mereka sekeluarga yang tidak dapat disertai oleh Syirin gara-gara terikat dengan kerja dan kesibukan.
 “Hisy… budak tu! Ada aje alasan dia. Mustakim datang rumah kita malam ni bukan setakat nak makan-makan aje.” Suara Hambali bertukar keras.
Dahi Noriah berkerut. Niatnya untuk masuk ke dapur, terus terbantut. Kenapa dia merasakan nada suara suaminya sudah lain macam? Ada apa-apa yang di luar pengetahuannya ke? “Ada sebab lain ke selain daripada makan malam, bang?” Matanya tepat memandang wajah suaminya itu.
“Mustakim nak berbincang tentang Syirin dan Nukman,” jawab Hambali tanpa memandang wajah Noriah.
Mendengar jawapan suaminya, Noriah kembali menghampiri dengan dada yang berdebar. “Nak bincang apa tentang Syirin dan Nukman?” Hati mula berdetak kencang. Adakah suaminya sedang merancang sesuatu? Jangan-jangan…
“Mustakim dan Saadiah nak merisik Syirin untuk Nukman.”
Noriah terkedu. Sah, tekaannya tadi benar. Serta-merta hatinya kacau-bilau. Seolah-olah dapat membayangkan apa yang bakal Syirin alami selepas ini.

No comments:

SEPERTI ADA CINTA

Blurb: Bertahun menyulam cinta, yang Farra Nuha dambakan hanyalah sebuah mahligai indah bersama Ilhan. Tetapi semakin tiba hari...