Monday, July 27, 2015

Bab 6 - Dia Anak Jeneral

Dah macam promote Mazda pulak dah...hehe. No...no...i'm NOT promoting Mazda. Cumanya dlm DAJ, saya pilih dua kereta ni. Hero/heroin saya kali ni has gotthe same taste in cars... (acquired taste??) :P 





And on top of that, ada sikit kelainan sbb hero DAJ bwk pick up truck. Tak spt hero2 ai yg lain tu...bwk sports car laa, performance car laa. Contractor la katakan...(being realistic and humble this time. Tak mahu hero anak Tan Sri/Datuk or CEO syarikat projek juta2)

Jom layan sedutan bab 6. Apabila dua pemandu Mazda ini hampir bertembung kereta. Dan kemudian akan bertemu hati...ahaks!









6

SYIRIN menuruni anak tangga. Pandangan dihala ke halaman rumah. Mercedes Benz C200 ‘Peanut Eye’ milik Leftenan Jeneral Hambali terparkir di anjung seperti biasa. Ayahnya pasti sudah ke kem dengan menaiki kenderaan tentera yang dipandu oleh Nasir.
Syirin lega. Memang sejak tiga hari lalu, dia cuba untuk tidak berhadapan dengan ayahnya. Rasa marah, kecewa dan bercelaru membuatkan dia bertindak sebegitu. Biarlah dia bertenang dahulu sebelum bersemuka dengan ayahnya. Bimbang jika secara tidak sengaja, dia menjadi anak derhaka kerana bertegang urat dengan ayahnya tentang isu itu.
Syirin atur langkah ke dapur. Mencapai mug yang tergantung di dinding dan mengeluarkan paket kopi 3 dalam 1 dari bekas yang disediakan di tepi cerek elektrik. Usai membancuhnya, dia menarik bangku yang terdapat di bar ruang dapur itu.
“Rin tak sihat ke? Lewat turun hari ni?” Noriah menghampiri Syirin sambil membawa semangkuk nasi goreng.
“Hmm… sakit kepala sikit.” Gara-gara waktu tidur yang tidak menentu sejak  mengetahui dirinya akan berkahwin dengan Nukman, pagi itu terasa benar berat kepalanya. Nasi goreng di dalam mangkuk yang dibawa oleh emaknya dipandang sekilas. Tiada selera untuk menjamahnya.
“Dah sejuk nasi goreng ni… tapi makanlah sikit. Nanti perut kosong, makin sakit kepala tu.” Noriah hulurkan pinggan kosong dan sudu.
Tidak mahu emak bimbang atau meleterinya, Syirin senduk juga nasi goreng ke pinggan.
“Tak pakai cincin merisik tu ke?” Noriah melihat jari manis Syirin masih tidak disarung dengan cincin pemberian keluarga Nukman.
“Nanti-nantilah.” Kalau hati masih berbelah-bahagi, Syirin tidak rasa pemakaian cincin itu satu kemestian pada waktu itu.
“Nukman kata apa? Rin dah bincang dengan dia?” Noriah simpati melihat wajah Syirin yang hilang seri sejak tiga hari lalu. Melalui Shim dan Ida, dia dapat tahu yang Syirin tidak bersetuju dengan cadangan Leftenan Jeneral Hambali. Tetapi di depannya, Syirin masih belum meluahkan apa-apa. Anak daranya itu mengambil sikap berdiam diri sejak kebelakangan ini. Atau Syirin sedang makan hati dengan sikap Leftenan Jeneral Hambali yang memaksa itu? Atau sedang mengatur perancangan untuk membangkang.
“Belum…” Sudah berkali-kali Syirin cuba mengatur pertemuan dengan Nukman untuk berbincang dari hati ke hati. Tetapi, lelaki itu sedang berkursus dan tidak sempat untuk mencuri masa menemuinya. Selagi Nukman tidak ditemui, memang hatinya tidak akan tenteram memikirkan soal itu.
“Rin setuju dengan cadangan ayah?”
Syirin menghela nafas. Sudu diletakkan di tepi pinggan. “Kalau ikutkan hati sekarang ni… memang Rin tak setuju. Tapi Rin tak ada alasan nak tolak cadangan ayah dan Uncle Mus tu, mak.” Itulah yang dikhuatirinya. Bila dia tidak ada alasan untuk membantah, perlukah dia akur dan berserah sahaja pada keadaan? Ikhlaskah dia menjadi isteri kepada Nukman kalau begitu caranya? Mampukah dia mengecap bahagia hidup berumah tangga hanya berdasarkan tuntutan kedua orang tua?
“Rin fikirlah masak-masak. Fikir dengan mata dan hati. Kalau perlu berbincang dengan Nukman… bincanglah elok-elok.” Noriah mengusap lembut bahu Syirin. Sungguhpun Syirin tidak punya pilihan, tetapi itu bukan bermakna Syirin harus terima sewenang-wenangnya. Bukan mudah membuat keputusan sebesar itu. Impaknya bakal dirasai seumur hidup jika tidak memilih dengan betul.
Syirin angguk. Itulah yang dirangka dalam fikirannya. Teringin sangat untuk bersemuka dengan Nukman. Sekadar bermesej atau bercakap telefon sahaja tidak cukup berkesan baginya untuk mengupas persoalan itu.
Saat itu juga, telefon bimbit Syirin berbunyi. Pantas dia mencapai telefon yang tersimpan di dalam begnya.

Rin, abg free lps pkl 12 hari ni… let’s meet up.

Mesej daripada Nukman… akhirnya! Spontan Syirin melihat jam di tangan. Sudah menghampiri pukul  9.00. Temu janjinya dengan klien pukul 10.00. Dia perlu beredar. Rumah mereka sekarang ini berada jauh dari pusat bandar. Cepat dia selesai berurusan dengan klien, cepat juga dia boleh menemui Nukman.
“Mak, Rin pergi dulu ya.” Terus Syirin bangun dari kerusi.
“Hmm… yalah.” Noriah melepaskan keluhan. Begitulah jadual Syirin yang sering terkejar-kejar. Dia dapat berbual sekejap-sekejap sahaja dengan anaknya itu sejak akhir-akhir ini.
Setelah mengucup tangan Noriah, Syirin bergegas ke keretanya. Menghidupkan enjin Mazda 2 itu sambil menekan punat pagar elektrik. Seminit kemudian, dia mengundur keretanya dan menekan pedal minyak untuk keluar dari pekarangan banglo.
Sambil memandu menuju ke jalan besar, Syirin capai telefonnya untuk membalas mesej Nukman menyatakan persetujuan untuk berjumpa pukul 1.00. Akibat ralit menaip teks, setibanya di simpang jalan besar, Syirin baru tersedar yang keretanya hampir bertembung dengan sebuah pacuan empat roda berwarna kelabu. Dia hendak keluar simpang. Mazda BT50 itu pula hendak masuk simpang.
“Oh mak!” Cepat Syirin memutar sterengnya ke kiri untuk mengelak. Berderau seketika darahnya. ‘Huh… nak masuk simpang, tapi makan jalan orang!’ rungutnya. Sempat Syirin membunyikan hon kepada Mazda BT50 itu sebelum memecut keretanya keluar dari simpang itu.

“EWAH… dia yang makan jalan orang, dia pulak yang hon kita!” bebel Nuar apabila Mazda 2 berwarna putih itu membunyikan hon sebentar tadi.
“Perempuan kalau bawa kereta… macam tu, lah! Salah sendiri tapi tak nak mengaku,” tokok pula Kudin dalam nada geram.
Zakhif hanya tersenyum dengan omelan anak-anak buahnya. Dia yang memandu, tetapi co-pilot pula yang bising. “Dia dah lambat agaknya tu…” Dia seakan membela pemandu Mazda 2 tersebut. Mujur juga dia pantas mengelak tadi. Sewaktu memandang cermin pandang belakang, sempat matanya tertancap pada  sticker yang bertampal di cermin belakang kereta tersebut… You kiss you pay! Banyak cantik? Sekiranya kenderaan mereka ‘bercium’ tadi, tak pasal-pasal dia pula yang kena bayar. Padahal terang-terang salah perempuan itu yang cuai memandu!

No comments:

SEPERTI ADA CINTA

Blurb: Bertahun menyulam cinta, yang Farra Nuha dambakan hanyalah sebuah mahligai indah bersama Ilhan. Tetapi semakin tiba hari...