Thursday, July 30, 2015

DAJ went on air!!

Kalau APD pernah ke udara di Radio Web Selangor dan SRV di MySuaraFm... smlm giliran DAJ (my little baby yg baru berusia bebrp hari ni...hehe) berpeluang utk bersiaran di ruang udara Selangor FM (100.9).

Ada ke yg dgr smlm? Entah apa saya cakap, kan ek?? :P

Apa2 pun, alhamdulillah...everything went well. Mujur ai tak nervous breakdown tau! Takut jugak klau tetiba blank jer...tak tau apa nak jwb...hehe.

And I had a great time being interviewed by a young and talented Deejay Dassky abt my books. Kalau berckp pasal buku... tiga hari tiga malam pun saya sanggup!! Tapi sapa pulak nak bagi slot 3 hari 3 mlm ye tak?? Hahaha.

Ok... here's some of the pics taken yesterday.


Terima kasih kpd pihak Karangkraf yg mengaturkan promosi ini. Terima kasih kpd pihak Selangor FM yg sudi menerima saya dalam segmen Dari Mata Tinta ini.

Dan ini ada promosi terhebat utk memiliki DAJ dan adik2nya yg lain (MK, KT, CTB, APD, SRV & SACK).

Mulai semalam hingga esok JUMAAT 31 JULAI jam 5 PETANG, anda berpeluang utk nikmati diskaun 20% jika membeli buku saya secara WHATSAPP di nombor 011-29061240.
Now everything can WhatsApp you know...!! Cepat2 WhatsApp...klau nak diskaun terhebat ni! Bukan susah pun...WhatsApp jer...;)



Tuesday, July 28, 2015

Dia Anak Jeneral dlm Segmen Dari Mata Tinta


Esok; Rabu 29hb July...saya akan berada di Konti radio Selangor FM (100.9) utk ditemuramah dalam segmen Dari Mata Tinta tentang senario politik tanah air yang sedang dilanda 'heat' ini berikutan rombakan Kabinet Menteri hari ni! Oppsss....silap!! :P

RALAT: Saya akan bercakap tentang DIA ANAK JENERAL!!

So, sudi2kanlah mencuri ruang masa untuk tukar saluran radio tu dari pukul 3.10pm hingga ke 3.45pm. Dengar-dengarkanlah saya merapu...huhu.

But actually, ai ni pemalu orangnya bila ditemuramah. Sbb tu ai suka menulis drp bercakap...;)

Monday, July 27, 2015

Bab 6 - Dia Anak Jeneral

Dah macam promote Mazda pulak dah...hehe. No...no...i'm NOT promoting Mazda. Cumanya dlm DAJ, saya pilih dua kereta ni. Hero/heroin saya kali ni has gotthe same taste in cars... (acquired taste??) :P 





And on top of that, ada sikit kelainan sbb hero DAJ bwk pick up truck. Tak spt hero2 ai yg lain tu...bwk sports car laa, performance car laa. Contractor la katakan...(being realistic and humble this time. Tak mahu hero anak Tan Sri/Datuk or CEO syarikat projek juta2)

Jom layan sedutan bab 6. Apabila dua pemandu Mazda ini hampir bertembung kereta. Dan kemudian akan bertemu hati...ahaks!









6

SYIRIN menuruni anak tangga. Pandangan dihala ke halaman rumah. Mercedes Benz C200 ‘Peanut Eye’ milik Leftenan Jeneral Hambali terparkir di anjung seperti biasa. Ayahnya pasti sudah ke kem dengan menaiki kenderaan tentera yang dipandu oleh Nasir.
Syirin lega. Memang sejak tiga hari lalu, dia cuba untuk tidak berhadapan dengan ayahnya. Rasa marah, kecewa dan bercelaru membuatkan dia bertindak sebegitu. Biarlah dia bertenang dahulu sebelum bersemuka dengan ayahnya. Bimbang jika secara tidak sengaja, dia menjadi anak derhaka kerana bertegang urat dengan ayahnya tentang isu itu.
Syirin atur langkah ke dapur. Mencapai mug yang tergantung di dinding dan mengeluarkan paket kopi 3 dalam 1 dari bekas yang disediakan di tepi cerek elektrik. Usai membancuhnya, dia menarik bangku yang terdapat di bar ruang dapur itu.
“Rin tak sihat ke? Lewat turun hari ni?” Noriah menghampiri Syirin sambil membawa semangkuk nasi goreng.
“Hmm… sakit kepala sikit.” Gara-gara waktu tidur yang tidak menentu sejak  mengetahui dirinya akan berkahwin dengan Nukman, pagi itu terasa benar berat kepalanya. Nasi goreng di dalam mangkuk yang dibawa oleh emaknya dipandang sekilas. Tiada selera untuk menjamahnya.
“Dah sejuk nasi goreng ni… tapi makanlah sikit. Nanti perut kosong, makin sakit kepala tu.” Noriah hulurkan pinggan kosong dan sudu.
Tidak mahu emak bimbang atau meleterinya, Syirin senduk juga nasi goreng ke pinggan.
“Tak pakai cincin merisik tu ke?” Noriah melihat jari manis Syirin masih tidak disarung dengan cincin pemberian keluarga Nukman.
“Nanti-nantilah.” Kalau hati masih berbelah-bahagi, Syirin tidak rasa pemakaian cincin itu satu kemestian pada waktu itu.
“Nukman kata apa? Rin dah bincang dengan dia?” Noriah simpati melihat wajah Syirin yang hilang seri sejak tiga hari lalu. Melalui Shim dan Ida, dia dapat tahu yang Syirin tidak bersetuju dengan cadangan Leftenan Jeneral Hambali. Tetapi di depannya, Syirin masih belum meluahkan apa-apa. Anak daranya itu mengambil sikap berdiam diri sejak kebelakangan ini. Atau Syirin sedang makan hati dengan sikap Leftenan Jeneral Hambali yang memaksa itu? Atau sedang mengatur perancangan untuk membangkang.
“Belum…” Sudah berkali-kali Syirin cuba mengatur pertemuan dengan Nukman untuk berbincang dari hati ke hati. Tetapi, lelaki itu sedang berkursus dan tidak sempat untuk mencuri masa menemuinya. Selagi Nukman tidak ditemui, memang hatinya tidak akan tenteram memikirkan soal itu.
“Rin setuju dengan cadangan ayah?”
Syirin menghela nafas. Sudu diletakkan di tepi pinggan. “Kalau ikutkan hati sekarang ni… memang Rin tak setuju. Tapi Rin tak ada alasan nak tolak cadangan ayah dan Uncle Mus tu, mak.” Itulah yang dikhuatirinya. Bila dia tidak ada alasan untuk membantah, perlukah dia akur dan berserah sahaja pada keadaan? Ikhlaskah dia menjadi isteri kepada Nukman kalau begitu caranya? Mampukah dia mengecap bahagia hidup berumah tangga hanya berdasarkan tuntutan kedua orang tua?
“Rin fikirlah masak-masak. Fikir dengan mata dan hati. Kalau perlu berbincang dengan Nukman… bincanglah elok-elok.” Noriah mengusap lembut bahu Syirin. Sungguhpun Syirin tidak punya pilihan, tetapi itu bukan bermakna Syirin harus terima sewenang-wenangnya. Bukan mudah membuat keputusan sebesar itu. Impaknya bakal dirasai seumur hidup jika tidak memilih dengan betul.
Syirin angguk. Itulah yang dirangka dalam fikirannya. Teringin sangat untuk bersemuka dengan Nukman. Sekadar bermesej atau bercakap telefon sahaja tidak cukup berkesan baginya untuk mengupas persoalan itu.
Saat itu juga, telefon bimbit Syirin berbunyi. Pantas dia mencapai telefon yang tersimpan di dalam begnya.

Rin, abg free lps pkl 12 hari ni… let’s meet up.

Mesej daripada Nukman… akhirnya! Spontan Syirin melihat jam di tangan. Sudah menghampiri pukul  9.00. Temu janjinya dengan klien pukul 10.00. Dia perlu beredar. Rumah mereka sekarang ini berada jauh dari pusat bandar. Cepat dia selesai berurusan dengan klien, cepat juga dia boleh menemui Nukman.
“Mak, Rin pergi dulu ya.” Terus Syirin bangun dari kerusi.
“Hmm… yalah.” Noriah melepaskan keluhan. Begitulah jadual Syirin yang sering terkejar-kejar. Dia dapat berbual sekejap-sekejap sahaja dengan anaknya itu sejak akhir-akhir ini.
Setelah mengucup tangan Noriah, Syirin bergegas ke keretanya. Menghidupkan enjin Mazda 2 itu sambil menekan punat pagar elektrik. Seminit kemudian, dia mengundur keretanya dan menekan pedal minyak untuk keluar dari pekarangan banglo.
Sambil memandu menuju ke jalan besar, Syirin capai telefonnya untuk membalas mesej Nukman menyatakan persetujuan untuk berjumpa pukul 1.00. Akibat ralit menaip teks, setibanya di simpang jalan besar, Syirin baru tersedar yang keretanya hampir bertembung dengan sebuah pacuan empat roda berwarna kelabu. Dia hendak keluar simpang. Mazda BT50 itu pula hendak masuk simpang.
“Oh mak!” Cepat Syirin memutar sterengnya ke kiri untuk mengelak. Berderau seketika darahnya. ‘Huh… nak masuk simpang, tapi makan jalan orang!’ rungutnya. Sempat Syirin membunyikan hon kepada Mazda BT50 itu sebelum memecut keretanya keluar dari simpang itu.

“EWAH… dia yang makan jalan orang, dia pulak yang hon kita!” bebel Nuar apabila Mazda 2 berwarna putih itu membunyikan hon sebentar tadi.
“Perempuan kalau bawa kereta… macam tu, lah! Salah sendiri tapi tak nak mengaku,” tokok pula Kudin dalam nada geram.
Zakhif hanya tersenyum dengan omelan anak-anak buahnya. Dia yang memandu, tetapi co-pilot pula yang bising. “Dia dah lambat agaknya tu…” Dia seakan membela pemandu Mazda 2 tersebut. Mujur juga dia pantas mengelak tadi. Sewaktu memandang cermin pandang belakang, sempat matanya tertancap pada  sticker yang bertampal di cermin belakang kereta tersebut… You kiss you pay! Banyak cantik? Sekiranya kenderaan mereka ‘bercium’ tadi, tak pasal-pasal dia pula yang kena bayar. Padahal terang-terang salah perempuan itu yang cuai memandu!

Wednesday, July 22, 2015

Bab 5 - Dia Anak Jeneral

SALAM AIDIL FITRI SEMUA...

Dah masuk Syawal keenam baru saya sempat bukak blog. Busy sgt gamaknya...

Saya kira, masih belum terlewat utk saya memohon maaf zahir dan batin jika sepanjang saya menulis ni...saya pernah 'ter'tulis apa2 yg menyinggung hati sesiapa. Ampun maaf saya pohon.

Ni nak buat pengumuman skit... sebenarnya DAJ sudah berada di tangan saya sejak 10 Julai hari tu. Lps saje keluar 'labour room' saya terus sambar 'anak-anak Jeneral' dan pos kepada mereka yg dah order lebih awal. I guess by now, dah ramai juga yg dpt pegang anak Jeneral ni. Even yg dah habis baca pun quite a few.  

Tapi bagi anda yg masih belum memiliki DAJ... setakat nak baca2 teaser buat pembuka selera...meh saya up bab 5. Mari berkenalan dgn heronya... hero yg mmg lain drp hero2 novel saya yg sebelumnya. Nak tahu apa kelainannya... jom layannn...

5

JALAN Hulu Langat masih lagi sesak dengan kereta yang bertali-arus. Masing-masing bergegas hendak ke tempat kerja. Tiga orang lelaki berjalan keluar dari sebuah restoran dan menyusuri bahu jalan menuju kenderaan pick-up Mazda BT50 berwarna kelabu yang diparkirkan tidak jauh daripada restoran tersebut.
Tiba di tepi kereta, telefon bimbit yang berada di dalam pouch pemilik pemandu Mazda itu berbunyi. Pantas lelaki itu menjawabnya bila terlihat nama yang terpapar di skrin. “Ada apa tauke?” sapanya sambil membuka pintu kereta.
“Eh, Ah Kif  aar… lu sudah sampai itu tempat ke belum?” tanya Ah Leong di hujung talian.
“Belum sampai lagi. Saya baru lepas minum ni.” Lelaki yang berpakaian kemeja T berwarna biru gelap dan berseluar jeans hitam itu menjawab. Sementara Nuar dan Kudin terus mengambil tempat mereka di dalam kenderaan itu.
“Eh… lu jangan lambat lorr. Nanti itu orang bising wooo…
“Ya… ya… saya tahu. Sudah mahu sampai maa… tapi saya mahu minum dulu.” Lelaki itu melihat jam tangannya. Baru pukul 8.30. Masih awal lagi. Biasanya dia memulakan kerjanya sekitar jam 9.30 pagi. Lagipun, dia sudah berada di Pekan Batu 18, sudah tidak jauh lagi dari destinasinya.
“Okey… okey… bye.” Lalu Ah Leong terus mematikan talian tanpa sempat lelaki itu membalasnya.
Lelaki itu menggeleng sambil melangkah masuk ke dalam perut kereta. Telefon bimbitnya diletakkan di compartment di hadapan. Nama aku sedap-sedap Muhamad Zakhif… si Ah Leong ni masih panggil aku Ah Kif! Sudah tidak mampu hendak marah, dia hanya tersenyum sendiri setiap kali Ah Leong memanggilnya nama itu. Suka hati kaulah Ah Leong. Yang penting, dia dan Ah Leong saling memerlukan untuk kebaikan kedua-dua belah pihak.
Baru sahaja dia hendak menghidupkan enjin kereta, tiba-tiba Kudin bertanya Zakhif. “Bang, kau kenal ke lelaki yang pakai baju putih tu? Sejak tadi dia asyik pandang-pandang sini aje.”
Zakhif menghala pandangan ke arah yang ditunjukkan oleh Kudin. Dari jarak dua meter, dia lihat lelaki berbaju putih yang dimaksudkan itu sedang berjalan ke arah kereta mereka. Diamati wajah itu buat seketika. Cuba untuk mengecam.
Apabila lelaki itu semakin mendekati, Zakhif tergelak sendiri. Pantas dia membuka pintu kereta bila sudah pasti siapa gerangan lelaki itu. “Ya ALLAH… Shaq!”
Shaqril tersengih. “Aku ingat kau dah tak kenal aku lagi!”
Tawa Zakhif masih bersisa. “Takkanlah aku boleh lupa jiran yang selalu sedekahkan aku makanan? Cuma tadi aku tak berapa perasan.”
Zakhif dan Shaqril terus bersalaman. Terlukis riak gembira di wajah mereka setelah tidak berjumpa lebih tiga tahun lamanya.
Dia dan Shaqril sama-sama menuntut di Staffordshire University dan tinggal berjiran di Ashford Street. Bezanya, Zakhif  mengambil kursus Civil and Structural Engineering dan Shaqril pula merupakan pelajar jurusan Electronic and  Electrical Engineering. Dan Zakhif berada di Stafford selama dua tahun sahaja setelah menerima tajaan daripada majlis perbandaran untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah. Manakala Shaqril memang sudah berada di sana sejak di tahun pertama hingga memperolehi ijazah sarjananya. 
“Aku tadi pun, teragak-agak nak tegur masa nampak kau keluar dari restoran tadi. Ya atau tidak Zakhif ni.” Sungguhpun Zakhif lebih awal pulang ke Malaysia dan tempoh mereka hidup berjiran lebih kurang dua tahun sahaja, tetapi Shaqril rapat dengan Zakhif satu ketika dahulu. Cuma sejak tiga tahun ini sahaja hubungan itu terputus gara-gara kesibukan masing-masing.
“Kau tinggal area sini ke, Shaq?”
“Mak aku tinggal kat sini. Aku tinggal di Bandar Utama. Kebetulan hari ni aku cuti… nak bawa mak aku check up di hospital. Tu yang singgah beli sarapan dulu,” jelas Shaqril.
Zakhif mengangguk. 
“Kau masih kerja dengan majlis perbandaran tu ke?” Seingat Shaqril, Zakhif terikat dengan kontrak bersama majlis perbandaran selama lima tahun kerana majikannya itu yang menaja pengajian Zakhif di peringkat ijazah semasa di Stafford dahulu. 
“Dah tiga tahun aku resign, Shaq. Lepas aje tamat kontrak, aku chow. Sekarang ni aku buka bisnes sendiri, jadi kontraktor kecil-kecilan.” Bukan Zakhif hendak membangga diri memberitahu yang dia ada perniagaan sendiri, tetapi manalah tahu, ada rezeki untuknya melalui Shaqril pula.
“Wah… senyap-senyap dah jadi kontraktor kau ni. Hebat!” Shaqril kagum. Sedangkan dia pun masih bekerja makan gaji. Bisnes kecil-kecilan yang dimilikinya, hanyalah sebuah pusat mencuci kereta yang dibukanya dua tahun lalu di premis stesen petrol kepunyaan rakannya; Razlan.
“Alaa… kelas E aje pun.”
“Kelas E tu… setakat buat banglo setengah juta, dah tentu dalam tangan.”
Zakhif tertawa kecil. “Alhamdulillah… bolehlah cari makan.”
“Kau buat job apa kat sini?”
“Ada repair dan plumbing works sikit untuk satu banglo yang baru siap ni.” Kerja-kerja pembaikan yang diberikan oleh Ah Leong kerana kontraktor asal sibuk dengan projek lain. Rezeki untuk Zakhif, kerana buat masa sekarang ini memang dia tidak ada job selepas kontrak membaik-pulih dewan kem di bawah tender Kementerian Pertahanan selesai dua minggu lalu.   
“Oh… banglo  yang baru siap warna coklat tu ke?”
“Ha’ah… kau tahu ke?”
Shaqril angguk. “Tak jauh daripada rumah mak aku. Owner dia Jeneral kan?”
“Dengar-dengarnya macam itulah…”
“Okeylah Khif, aku nak sembang panjang dengan kau ni, tapi appointment mak aku pukul 10.00 pulak. Takut lewat.” Shaqril terpaksa meminta diri sambil melihat jam di tangannya.
“Nanti kita kena buat teh tarik session ni. Banyak nak sembang.” Zakhif mencadangkan sambil menghulurkan salam.
“Okey… set!” Sempat Shaqril bertukar nombor telefon dengan Zakhif.



Wednesday, July 08, 2015

E-book di Karangkraf eMall

Just to let you guys know... to those yg tak suka pegang buku tebal2, tak larat nak baca hard copy tapi lebih suka membaca soft copy dari phone atau IPad... haa...ni ada berita baik utk anda!!

Sekarang ni, novel2 saya sudah ada dalam bentuk e-book!! Dan harganya, tidak sampai 16 hengget pun!!

Just click this link:
http://emall.karangkraf.com/book.aspx?mode=search&keyword=Hezzy%20Azra

Tapi cuma dua saje novel saya yg ada dlm bentuk e-book iaitu SAH, AKU CINTA KAMU! dan SEMERAH RED VELVET. So, siapa yg belum berkenalan dgn Raif Imran, Irdina Jasmin, Emir Hadhri dan Raina...silalah 'bertemu' mereka di alam maya... :)


Monday, July 06, 2015

Bab 4 - Dia Anak Jeneral

4

Noriah memandang wajah Leftenan Jeneral Hambali yang sedang membaca. Beribu soalan hendak ditanyakan kepada suaminya. 
“Bang…” Akhirnya Noriah bersuara juga. Perkara ini perlu dibincangkan. Dia tidak faham kenapa suaminya masih dengan perancangan yang serupa. Suka betul buat keputusan sendiri! 
Leftenan Jeneral Hambali mendengar panggilan Noriah. Tetapi dia tidak memberi sebarang reaksi. Matanya masih tetap menatap buku di tangan.
“Bang, ni pasal nak satukan Syirin dan Nukman.”
“Hah… kenapa?” Wajah Hambali tanpa riak. Dia angkat muka sedikit untuk melihat keruh di wajah Noriah, sebelum kembali menatap bukunya. Dia sudah boleh mengagak yang isterinya ada bantahan. Tetapi bukankah selama ini keputusan di tangannya? Sepatutnya Noriah sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan dan berikan sokongan yang tidak berbelah-bahagi.
Noriah tidak terus menjawab. Dia terbayangkan wajah Syirin saat diusulkan dengan cadangan itu tadi. Anaknya itu kelihatan hairan, tercengang dan terkejut. Simpatinya tumpah. Apakah Syirin bersetuju? Atau Syirin akan membangkang?
Kemudian dia membayangkan pula wajah jejaka bernama Nukman; anak lelaki sulung Mustakim dan Saadiah. Nukman yang berusia 30 tahun itu tidak ada cacat celanya. Peribadinya molek. Bicaranya sopan. Kerjayanya sebagai Pegawai Kastam itu pun stabil. Tetapi pokok persoalannya, serasikah jika disatukan dengan Syirin?
“Saya ni bukan apa, bang. Saya rasa Syirin dengan Nukman tu setakat  berkawan baik aje… tak lebih daripada tu. Sejak dari zaman sekolah lagi dia orang berdua tu rapat, tapi bukannya bercinta.” Noriah meluahkan pendapatnya. 
“Bila dah kahwin nanti, bercintalah puas-puas.”
Noriah terdiam. Senang betul suaminya bercakap!
“Saya tengok sepadan aje dia orang berdua tu. Lagipun, bukannya Syirin tak kenal Nukman. Mustakim tu pun bukan orang lain, kawan baik saya juga. Bila dah kenal keluarganya, lagi senang untuk kita berbesan. Macam saya kenal Pakarudin, ayah Fikri tu.” Sebarang keputusan yang dibuat, bukan sesuka hatinya sahaja. Dia juga ada penilaian yang tersendiri. Ada kriteria yang harus dipenuhi. Hanya dia yang tahu apa terbaik untuk anak dan bakal menantu.
“Saya rasa Syirin tak akan setuju, bang.” Noriah melahirkan pandangannya sebagai seorang ibu. Sekiranya Syirin dan Nukman merupakan pasangan bercinta, pasti Syirin sudah berkongsi rahsia itu dengan dia ataupun dengan kakak-kakak kembarnya. Tetapi tidak pernah pula dia mendengar apa-apa gosip daripada mulut Shim mahupun Ida. Itu memberi petunjuk yang Syirin tidak menyimpan perasaan terhadap Nukman.
Leftenan Jeneral Hambali mendengus. “Masa saya nak kahwinkan Shim dengan Asraf dan Ida dengan Fikri… itu juga perkara yang awak risaukan. Tapi tengok… bila dah kahwin, elok aje budak-budak tu. Bahagia macam orang lain aje pun. Shim tu, dah dua anaknya. Ida tu pun, tak lama lagi… bertambah seorang. Nori, budak-budak ni… tak tahu apa perancangan yang baik untuk masa depan mereka, melainkan kita yang rancangkan untuk mereka.”
“Shim dan Ida tu, lain bang. Dia orang berdua tu, memang tak banyak hal. Tapi dengan Syirin, ada baiknya kita tanya pendapat dia dulu.”
Leftenan Jeneral Hambali menggeleng tanda tidak setuju dengan cadangan Noriah. Hendak tanya pendapat Syirin? Lagilah anaknya itu beri seribu helah. Baik tak payah! “Sebelum ni pun kita tanya pendapat Shim dan Ida masa hendak jodohkan mereka dengan Asraf dan Fikri. Pernah ke dia orang tak setuju dengan pilihan kita? Syirin ni aje… yang tak pernah nak dengar cakap saya.”
“Kalau kita nak Syirin dengar cakap kita, ajaklah dia berbincang baik-baik.” Noriah cuba memujuk. Syirin anak yang baik, manja dan penyayang. Cuma sedikit keras kepala jika dibandingkan dengan Shim dan Ida.
“Tugas awaklah untuk berbincang dengan dia… ataupun pujuk dia. Dia tu kan, anak manja awak? Tapi, keputusan saya muktamad. Mustakim dah bagi cincin merisik dan kita dah pun terima. Yang saya tahu, Syirin kena patuh dengan kehendak saya kali ni!”
Noriah terkedu. Hilang idea untuk menjawab. Serta-merta dia terkenangkan Syirin yang berada di bilik sebelah. Bagaimana Syirin menerima keputusan itu?

SEPERTI ADA CINTA

Blurb: Bertahun menyulam cinta, yang Farra Nuha dambakan hanyalah sebuah mahligai indah bersama Ilhan. Tetapi semakin tiba hari...