4
Noriah memandang wajah Leftenan
Jeneral Hambali yang sedang membaca. Beribu soalan hendak ditanyakan kepada
suaminya.
“Bang…” Akhirnya
Noriah bersuara juga. Perkara ini perlu dibincangkan. Dia tidak faham kenapa suaminya masih dengan perancangan yang serupa.
Suka betul buat keputusan sendiri!
Leftenan Jeneral
Hambali mendengar panggilan Noriah. Tetapi dia tidak memberi sebarang reaksi.
Matanya masih tetap menatap buku di tangan.
“Bang, ni pasal nak
satukan Syirin dan Nukman.”
“Hah… kenapa?”
Wajah Hambali tanpa
riak. Dia angkat muka sedikit untuk melihat keruh di wajah Noriah, sebelum
kembali menatap bukunya. Dia sudah boleh mengagak yang isterinya ada bantahan.
Tetapi bukankah selama ini keputusan di tangannya? Sepatutnya Noriah sudah
bersedia dengan sebarang kemungkinan dan berikan sokongan yang tidak
berbelah-bahagi.
Noriah tidak terus
menjawab. Dia terbayangkan wajah Syirin saat diusulkan dengan cadangan itu
tadi. Anaknya itu kelihatan hairan, tercengang dan terkejut. Simpatinya tumpah.
Apakah Syirin bersetuju? Atau Syirin akan membangkang?
Kemudian dia
membayangkan pula wajah jejaka bernama Nukman; anak lelaki sulung Mustakim dan
Saadiah. Nukman yang berusia 30 tahun itu tidak ada cacat celanya. Peribadinya
molek. Bicaranya sopan. Kerjayanya sebagai Pegawai Kastam itu pun stabil.
Tetapi pokok persoalannya, serasikah jika disatukan dengan Syirin?
“Saya ni bukan apa,
bang. Saya rasa Syirin dengan Nukman tu setakat
berkawan baik aje… tak lebih daripada tu. Sejak dari zaman sekolah lagi
dia orang berdua tu rapat, tapi bukannya bercinta.” Noriah meluahkan
pendapatnya.
“Bila dah kahwin
nanti, bercintalah puas-puas.”
Noriah terdiam.
Senang betul suaminya bercakap!
“Saya tengok
sepadan aje dia orang berdua tu. Lagipun, bukannya Syirin tak kenal Nukman.
Mustakim tu pun bukan orang lain, kawan baik saya juga. Bila dah kenal
keluarganya, lagi senang untuk kita berbesan. Macam saya kenal Pakarudin, ayah
Fikri tu.” Sebarang keputusan yang dibuat, bukan sesuka hatinya sahaja. Dia
juga ada penilaian yang tersendiri. Ada kriteria yang harus dipenuhi. Hanya dia
yang tahu apa terbaik untuk anak dan bakal menantu.
“Saya rasa Syirin
tak akan setuju, bang.” Noriah melahirkan pandangannya sebagai seorang ibu.
Sekiranya Syirin dan Nukman merupakan pasangan bercinta, pasti Syirin sudah
berkongsi rahsia itu dengan dia ataupun dengan kakak-kakak kembarnya. Tetapi
tidak pernah pula dia mendengar apa-apa gosip daripada mulut Shim mahupun Ida.
Itu memberi petunjuk yang Syirin tidak menyimpan perasaan terhadap Nukman.
Leftenan Jeneral
Hambali mendengus. “Masa saya nak kahwinkan Shim dengan Asraf dan Ida dengan
Fikri… itu juga perkara yang awak risaukan. Tapi tengok… bila dah kahwin, elok
aje budak-budak tu. Bahagia macam orang lain aje pun. Shim tu, dah dua anaknya.
Ida tu pun, tak lama lagi… bertambah seorang. Nori, budak-budak ni… tak tahu
apa perancangan yang baik untuk masa depan mereka, melainkan kita yang
rancangkan untuk mereka.”
“Shim dan Ida tu,
lain bang. Dia orang berdua tu, memang tak banyak hal. Tapi dengan Syirin, ada
baiknya kita tanya pendapat dia dulu.”
Leftenan Jeneral
Hambali menggeleng tanda tidak setuju dengan cadangan Noriah. Hendak tanya
pendapat Syirin? Lagilah anaknya itu beri seribu helah. Baik tak payah!
“Sebelum ni pun kita tanya pendapat Shim dan Ida masa hendak jodohkan mereka
dengan Asraf dan Fikri. Pernah ke dia orang tak setuju dengan pilihan kita?
Syirin ni aje… yang tak pernah nak dengar cakap saya.”
“Kalau kita nak
Syirin dengar cakap kita, ajaklah dia berbincang baik-baik.” Noriah cuba
memujuk. Syirin anak yang baik, manja dan penyayang. Cuma sedikit keras kepala
jika dibandingkan dengan Shim dan Ida.
“Tugas awaklah
untuk berbincang dengan dia… ataupun pujuk dia. Dia tu kan, anak manja awak?
Tapi, keputusan saya muktamad. Mustakim dah bagi cincin merisik dan kita dah
pun terima. Yang saya tahu, Syirin kena patuh dengan kehendak saya kali ni!”
Noriah terkedu.
Hilang idea untuk menjawab. Serta-merta dia terkenangkan Syirin yang berada di
bilik sebelah. Bagaimana Syirin menerima keputusan itu?
2 comments:
semakin seronok je tak sabo nak tunggu dah siap
Notie,
Lps raya ni in sya Allah akan berada di pasaran. Tunggu sikittt je lagi...hehe
Post a Comment