Sedikit petikan dari novel terbaru saya... yang tajuknya... err... tak confirm lagi...;) Sudi2kanlah baca ya...
“Rai… jangan buat saya macam ni!” Rayuan Syahir sampai
ke pendengaran Raina.
Raina memandang ke luar rumah. Dari celahan jendela, dia
terlihat Syahir memegang pagar rumahnya. Dia mendengus marah. Semalam kata nak
putus… buat apa datang sini lagi? Benci betul!!
Dia mengalih pandangan ke arah Uzair semula. Serba
salah. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk mendiamkan Syahir yang masih
kedengaran memanggil-manggil namanya. Kali ini siap menyanyi lagu Bruno Mars
pula… “Oh Raina, I think I want to marry
you!”
“Pandai-pandailah Rai uruskan dia. Jangan sampai uda
masuk campur…” Uzair memberi amaran sebelum menghayun langkahnya ke dapur.
Raina terkebil-kebil. Hatinya mula risau memikirkan
amaran Uzair. Kalau Uzair masuk campur dan mengamuk nanti, lain pula jadinya.
Sebelum berlakunya kejadian yang tidak diingini, dengan pantas dia berjalan ke
luar rumah. Hatinya mendongkol geram dengan kelakuan Syahir. Pukul 7 pagi sudah
tersembul di rumahnya sambil memekik memohon maaf dan bernyanyi-nyanyi bagai
orang tidak waras. Macam mana Uzair tak marah? Habis satu lorong tahu yang dia
dan Syahir bergaduh! Argh… malunya!!
“Apa awak nak datang sini pagi-pagi?” Marah Raina sebaik
berdiri di depan Syahir yang mengenakan seluar jean dan kemeja T. Rambut lelaki
itu tidak bersikat. Mungkin baru bangun tidur. Entah mandi atau tidak!
“Kalau ya pun, bukalah pagar ni… bagilah saya masuk,”
pinta Syahir di sebalik pagar rumah Raina yang masih diselak. Celik sahaja mata
pagi tadi, dia berasa rindu untuk melihat wajah Raina. Dan rindu itulah yang
membawanya ke kawasan perumahan Taman Permata itu.
Hendak tak hendak, Raina menarik selak pagar. Hatinya
sakit, tetapi Syahir masih seorang tetamu yang wajar dilayan.
Syahir melangkah masuk apabila Raina mempersilakannya.
“Saya nak minta maaf Rai… awak maafkan saya, eh? Please…” Pantas dia
merapatkan kedua belah tangannya tanda memohon maaf.
“Awak ada buat salah ke?” sindir Raina lalu menyandarkan
tubuhnya di pintu kereta Proton Gen2 milik Uzair yang terparkir di anjung.
Panas hatinya dengan tingkah laku Syahir yang suka mencalar perasaannya dan
kemudian merayu mohon dimaafkan.
Syahir turut bersandar di sisi Raina. “Janganlah sindir
saya macam tu, Rai. Saya janji, saya takkan buat lagi. Sumpah, saya takkan
marah-marah awak macam semalam.” Raut wajah Raina ditenung dalam-dalam.
Sesungguhnya, dia memang tidak keruan jika Raina tiada. Tetapi dia memang tidak
berupaya mengawal rasa cemburu dan marahnya.
“Tak payah berjanji-janji atau bersumpah dengan saya. Kan awak dah minta
putus semalam… kita putus ajelah!” bidas Raina sambil menjeling tajam. Masih
teringat tuduhan melulu yang Syahir lontarkan sewaktu mereka bertengkar.
“Itu semalam… masa saya tengah marah, memanglah saya
kata nak putus. Sekarang ni, saya dah tak marah lagi… kita on balik ya?”
ujar Syahir selamba. Bagai tidak terkesan di mata atau hatinya, pertengkaran
semalam telah membuatkan Raina berjauh hati dengannya.
Membulat mata Raina membalas pandangan Syahir. “Awak
ingat ni suis ke? Main petik on, petik off aje? Bila dah tak
marah… senang-senang aje awak nak baik dengan saya?” Geram sungguh dia dengan
sikap selamba Syahir yang menganggap segala-galanya semudah itu.
“Alaa Rai… janganlah macam ni. Apasal awak garang sangat
dengan saya? Awak dah tak sayang saya lagi ke?” tanya Syahir berlembut. Dia
tahu Raina pasti kalah jika dia tidak berkeras. Gadis itu memang cepat sejuk
hati.
Raina terdiam. Apa erti perkataan sayang? Sayang ke dia
pada Syahir? Sayang yang bagaimana? Buat seketika, dia keliru.
“Tapi saya sayang awak, Rai. Sayang sangat-sangat…” ucap
Syahir. Terasa ingin dibelai pipi gadis itu. Tapi kalau dia buat begitu, pasti
dimarahi oleh Raina. Silap-silap haribulan, akan ditampar oleh gadis itu! Dalam
kemanjaan dan kelembutan, Raina cukup bertegas tentang hal yang satu itu.
Sungguhpun sudah dua tahun percintaan mereka, tidak sekalipun dia berjaya
menyentuh Raina. Melainkan buat-buat tersentuh, kononnya tidak sengaja!
Lebih-lebih lagi bila pesanan Hasnah sentiasa terngiang
di telinga… “Kau jangan buat tak senonoh dengan anak dara orang, Syahir! Raina
tu baik budaknya. Jangan disentuh selagi tak halal!” Argh… pesanan yang
mencabar jiwa lelakinya!
4 comments:
Tahun depan ek kluar sis??? Xsabar dh nie.. Byk on queue.. Lynn dayana punya CUD lg..
In Sha Allah Yaz... tahun depan. Tapi akak bagi laluan kat CUD Lynn Dayana dulu...hehe.
Yea yeaaaa!! Kumpul duit je... Hehe
Yaz, start kumpul dari sekarang...hehe
Post a Comment